Ahad, Mac 27, 2011

Rahsia Hati


Bismillahirrahmanirrahim..

Dulu aku tertanya
Mengapa manusia perlu ada cinta
Perasaan kasih perasaan sayang
Di antara Adam dan Hawa
Aku mencari lagi
Aku bertanya di sana sini
Namun semua hujah aku tolak ke tepi
Aku terus-terusan menafi
Hingga suatu saat aku mula mengerti
Kalam Allah sahaja yang aku yakini..

Maha Suci Tuhan
Yang telah menciptakan makhluk semuanya berpasangan
Sama ada yang ditumbuhkan bumi
Atau dalam diri mereka sendiri
Atau dari apa yang tidak diketahui
{Yaasin :36}

Demi Allah
Hatiku Berjaya ditakluki
Oleh Adam yang bakal digelar suami
Suami solehku yang ku gelar kini
Meniti doa sepanjang hari
Rasa rindu segenap sanubari
Hakikat wajahnya tak pernah kulihati
Walaupun di dalam mimpi
Aku sendiri tidak pasti
Oh Tuhan
Siapakah gerangan pemuda itu nanti
Yang namanya telah diukiri
Dalam Luh Mahfuz ciptaan Illahi

Allah cinta agungku
Aku tak pantas memiliki cinta bukan muhrimku
Aku memohon hilangkan segala perasaan itu
Tumbuhkan kembali pabila ku ketemu
Cinta buat suami solehku

Ya Rabbi
Di malam sunyi ku merintih lagi
Berdoa bersujud di hadapanMu kini
Moga solehku
Terlalu mencintaiMu Ya Illahi
Moga solehku
Di antara pemuda Firdausi
Moga solehku
Menjaga pandangan mata dan hati
Moga solehku
Anak soleh buat ayah dan umi
Moga solehku
Bukan di antara hanyut cinta duniawi
Moga solehku
Bertambah solehnya semakin hari
Allah
Allahuakbar
Allahurabbi..

Allah cintaku
Sampaikan salam rinduku pada solehku
Suatu hari nanti dalam rahmatNya
Kita akan bertemu
Pesanku
Sucikan hati kuatkan imanmu
Doakanlah aku di sini
Menjadi wanita solehahmu..

-Menanti Soleh-


“Maka sabarlah duhai hati, sabarlah atas nama Allah..”

Rabu, Mac 23, 2011

Along Tak Nak Hafal Al-Quran?


Bismillahirrahmanirrahim..

Pagi-pagi lagi si ibu bertungkus-lumus di dapur menyediakan makanan tengah hari untuk si ayah dan anak-anak kesayangannya yang bakal pulang ke sekolah. Si kakak mula melangkah kaki ke dapur membantu ibu selepas ditegur dengan penuh kasih sayang oleh si nenek.. (^_^’) Dengan tangan si kakak ligat membasuh pinggan mangkuk dan si ibu menggoreng ikan , kisah-kisah  mula keluar menghangatkan sesi bersama anak beranak  di dapur..

Firah buka cerita dengan kisah-kisah sahabat dari sekolah rendah sampai sekolah menengah. Apa yang mereka buat ketika ini. Ada yang tengah ambil medic, engineer, arkitek, mathematic, computer, management, dan… ada yang bakal jadi ustaz ustazah.. insyAllah..

Ibu senyum.. Tiba-tiba ibu bertanya satu soalan yang buat Firah tersentak.. “Along, along tak nak hafal Al-Quran?” Firah terdiam.. Monolog hati Firah bersuara, siapa yang tak nak hafal Kitab Allah.. Tambah-tambah syarat untuk menjadi seorang pendakwah mesti lancar hafazan Al-Quran dan Hadis, terngiang-ngiang kata-kata Ustaz yang baru beberapa hari Fira balik dari program tersebut.

Ibu bersuara lagi, “Along tahu, pelajar yang bijak adalah mereka yang menghafaz Al-Quran.” Tertunduk, tangan masih ligat membasuh pinggan kotor di singki. Telinga masih menangkap apa yang cuba disampaikan oleh si ibu. “Rasulullah s.a.w pun perlukan masa yang sangat lama untuk hafal Al-Quran. Fitrah manusia pun selalunya melakukan kerja sedikit demi sediki. Tak mampu sekaligus. Yang mampu hanya Allah.. Ingat lagi tak? Lahaulawalaquwataillabillah.. Tiada daya kekuatan melainkan hanya Allah..

Kini, giliran keropok lekor dimasukkan ibu ke dalam kuali. Bunyi minyak panas meratah keropok lekor menyengat di telinga. “Along, kalau Along dah hafal 30 juzuk Al-Quran nanti agak-agak Along takut mati?” Soalan yang terakhir itu semakin mendalam rasanya untuk Firah. Perlahan-lahan Firah membuka suara. “Tak..” Ya, hanya orang yang benar-benar beriman tidak takut akan kematian. Mereka bersedia untuk bertemu dengan Allah sebab itu tiada rasa gentar untuk kematian. Mungkin itu yang dirasa oleh mereka yang syahid terdahulu. Tiada rasa takut untuk mati..

Selesai singki dibersihkan, Firah kembali untuk ke bilik.. “Along ingat, hanya ilmu yang mengangkat martabat kita dan bila seseorang tak dapat menerima ilmu yang disampaikan maknanya ada titik hitam dosa yang telah kita lakukan melekat di hati”.. Perlahan-lahan kaki melangkah keluar dari dapur, hati bercelaru.. Ya Allah, jauhnya aku sekarang dari-Mu… Aku rindu..

Laptop di buka.. Ayat-ayat Al-Quran mula dipasang.. Papan huruf mula ditekan lantas bicara hati diluahkan.. Ya, dari dahulu Firah memang ada niat untuk hafal Al-Quran. Cuma semakin lama impian itu semakin hilang ditelan masa.. Bila lagi hendak bermula.. Ah, Firah betul-betul memerlukan sokongan. Hati mengakui banyak pantang larang yang perlu dilaksanakan. Tinggal hanya laksanakan sama ada  mahu atau tidak.. Allahuakbar!! Lahaulawalaquwataillabillah..

Sesiapa membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan makhota pada hari kiamat yang sinaran makhota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah kamu di dunia ini” {Riwayat Imam Ahmad Daud}

Sabtu, Mac 12, 2011

Istikharah Cinta


Mawar  merah segar dibasahi embun
Rupanya dalam diam semua agenda telah tersusun
Khabar gembira bakal menyusul
Mawaddah kan tercipta atas pilihan keluarga
Cuma tak tahu siapa gerangan yang telah menambat hati bonda
Senyuman terukir di bibir bonda
Pabila si mawar malu enggan bicara
Kini serahkan sepenuhnya pada Yang Esa
Siapakah pemuda yang diredhai agama dan akhlaknya..

-6.00am, 13 Mac 2011-

You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "