Jumaat, Jun 28, 2013

Sang Pemimpi


Bismillahirrahmanirrahim…

Hamdallah, segala pujian-pujian untuk-Nya dan hanya Dia milik kesemuanya. Hampir berbulan lamanya blog ini ditinggalkan. Hari demi hari, detik demi detik, saat demi saat berlalu pantas meninggalkan kita. Tak terasa. Tengok2 umur semakin menambah angka. Koreksi diri. Sudah berapa banyak bekalan dipersiapkan untuk di bawa ke sana. Mata menunduk ke lantai, geleng-geleng kepala. Rasa diri hina.

Yup, ana sekarang sudah fasa yang terakhir di bumi KUIS ini. Sem 7. Menghabiskan semua silibus pelajaran dalam bidang yang tak pernah ana sendiri jangkakan suatu ketika dahulu. Dengar dari ustazah akhirnya bidang ini telah berjaya mendapat kelulusan pihak MQA memandangkan kamilah batch yang pertama merasmikan bidang pengajian ini, Alhamdulillah segala puji-pujian dikembalikan lagi kepada-Nya.

3 bulan yang lalu, banyak pelajaran dan pengajaran yang telah ana lalui. Bermusafir di Negara orang, memulakan langkah untuk sem yang baru. Banyak impian dan angan-angan masih cuba untuk dilaksanakan. Teringat kata-kata falsafah, sejauh mana impianmu, sejauh itu juga yang akan kamu  dapati. Bermimpilah sesungguhnya Allah akan memeluk mimpi-mimpimu.

Banyak yang sedang bermain di kepala. Tak terluahkan. Meskipun hanya sekadar mimpi. Ke mana ana akan habiskan sisa masa ana selepas ini? Masih tidak puas bergelumang sakan dengan ilmu-ilmu yang diberi. Teringin untuk memegang kitab-kitab lama, fasih seperti guru-guru yang mengajar dan menterjemah dalam bahasa arab. Teringin ingin menjejakkan kaki di Universiti Ummul Qura’ Makkah, yang khabarnya amat sengit persaingan untuk mendapat tempat. Teringin sekali menubuhkan sebuah madrasah yang mampu membina generasi Islam seterusnya, bekalan besar untuk akhirat. Teringin untuk mencetak helaian buku sendiri rujukan buat umat seperti imam dan ulama zaman dahulu kala. Teringin walaupun sekadar mimpi.. Masih banyak lagi teringin yang tak terluahkan.

Sepanjang rasa teringin dan mimpi-mimpi itu, pelbagai nasihat yang telah ana dapati. Letakkan matlamat utama untuk akhirat, nescaya dunia yang lain akan mengejarmu. Masa adalah milik Allah, kita manusia hanya meminjam dan menggunakan sebaiknya apa yang telah diberi. Ilmu yang baik dan diterima Allah adalah bila kita beramal dengannya dan berkongsi kepada orang lain. Dan banyak lagi peringatan-peringatan yang mohon kepada diri sendiri tidak terleka dan melupainya. Amin.

Ghadan ana wa sohibati sanazhab ila barnamaj seminar Ramadhan fi PKK. InsyaAllah, moga ini salah satu cara untuk ana bersedia memasuki universiti Ramadhan yang boleh dikira dengan jari beberapa hari lagi kedatangannya. *Feeling excited. =) Alhamdulillah, buat masa ini sudah ada mimpi dahulu yang telah tertunai. Bermimpi dapat tajuk thesis berkaitan Negara Islam Palestin ataupun Syria. Ana tahu ianya sesuatu yang mustahil buat ana sebab tajuk thesis kami sepenuhnya diseliakan oleh pihak pensyarah dan pastinya mengkaji tajuk yang tidak pernah dikaji. Dan, Alhamdulillah sem ini Allah beri bonus tajuk assignment ana yang terakhir ialah “Krisis di Syria”. Subhanallah, tidak ada sesuatupun yang mustahil bagi Allah. Syukran Ya Allah.

# Masih dalam proses menyiapkan diari kembara ilmu sepanjang di Gontor untuk dihantar kepada pihak berkenaan. Pasti akan dikongsi bersama teman-teman juga di ruangan ini. Mohon doanya. =)


You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "