Khamis, April 04, 2013

#2 Travelog Kembara Ilmu


Bismillahirrahmanirrahim..

Imbas kembali….
Terima kasih Tuhan…

********

Aku terduduk mendengar perkhabaran itu. Hatiku sebak. Aku pandang ke sebelah, adik bilikku masih tekun menyiapkan tugasannya. ‘Ija..’ bibirku tersekat untuk meluahkan rasa. ‘Ya, kenapa kak?’ gadis manis itu bersuara. ‘Emm.. x de apa-apa lah..’ Aku menghadiahkan sebuah kuntuman senyuman. Ya Allah, hanya Engkau sahaja yang mengetahui rasa itu. Hatiku seperti pecah berkeping-keping. Seperti mahu ku lepaskan segala perasaan saat itu jua, namun aku cuba menyembunyikan segala rasa.

‘Akak gagal dalam temuduga tu.. nama akak tak tersenarai..’ akhirnya bibirku melafazkan sesuatu yang teramat berat untuk dibicarakan. Sebak.. Namun cuba seperti berlagak tenang dihadapannya. Suasana sunyi, kami bertentangan mata tanpa suara.

Hari-hari yang berlalu, seperti pudar warna dan rasa. Kata-kata semangat ku hembus-hembuskan di dalam diri. ‘InsyaAllah, mungkin bukan rezeki lagi..’ ‘InsyaAllah, Allah akan gantikan lebih baik..’ ‘InsyaAllah, jalan Allah itu luas nanti Allah tunjukkan yang lain..’ ‘Wahai hati, tenanglah.. mungkin kita boleh hilang yang lain, tapi Allah sesekali jangan..’ Entah mengapa, air mataku mengalir terlalu deras seperti tidak berharga saat itu.. ‘Allah, ampunilah dosa hambaMu yang hina ini..’

Cemburu, tipu kalau jika tidak ada rasa cemburu.. Melihat sahabat kesayanganku terpilih di dalam temuduga tersebut. Borang-borang penuh diisi, berjumpa di sana-sini, aku cuma datang meneman dan membantu. Ucapan tahniah silih berganti, dan aku cuma jadi sang pemerhati yang masih berpura-pura tenang..

Dulu, diri ini yang paling bersemangat mengikuti perkembangan itu dari hari ke hari. Hampir setahun lamanya.. Aku juga yang menarik tangan sahabatku untuk mengisi borang bersama. Mengkaji, menyelidik, berusaha dengan sesungguhnya.. Kini, aku melalui saat-saat yang sukar untuk menyedarkan diri semula, Tuhan itu berkuasa atas apa sahaja. Sungguh benar kata pepatah, manusia hanya merancang, Allah jua yang menentukan segalanya..

Kini hampir dua minggu lamanya, aku kembalikan semula segala keyakinan diri. Ibu pesan, jangan cepat terlalu rasa lemah. Allah sedang uji.. Usai mock presentation fyp, ustazah terus bertanya ‘Zafirah x dapat ke?’ Aku cuma mampu mengukirkan senyuman, ku hargai jasa ustazah yang pernah mendorongku untuk mengikuti segala ini. ‘xpe, ini semua ujian daripada Allah..’ ustazah berbicara. ‘InsyaAllah ustazah..’ Hatiku tenang seketika..

Hari Jumaat itu, hatiku membentak kuat.. Sekurang-kurangnya aku perlu mengetahui apa sebab namaku digugurkan. Sedangkan hatiku yakin aku berjaya melepasi semua peringkat saringan yang telah ditetapkan. ‘Fira rasa nak jumpa ustaz lah.. Fira nak tau apa sebab nama Fira tak tersenarai. InsyaAllah, mungkin boleh diperbaiki waktu akan datang.‘ Kami bergegas ke bilik ustaz, dengan tangan penuh segala peralatan untuk menyediakan program Usuluddin esok hari.  Akhirnya, kami hanya mengetuk bilik yang tak berpenghuni. Mugkin belum rezeki berjumpa lagi. Bergegas berkejaran mengejar masa, petang ini ada program lagi harus menyiapkan segalanya untuk menyambut tetamu dari sana. Ya, tetamu dari sana.. =)

Rasa itu membuak lagi, hatiku bertanya dan aku harus mencari jawapannya. ‘Akak, saya nak jumpa dengan akak sekejap boleh?’ meseg send.. ‘ok, boleh tapi sebelum pukul 3’. Kini aku dihadapannya, meluahkan persoalan yang mengganggu minda. Allah, Allah, Allah.. mengetahui jawapan yang tak pernah aku sangka. ‘Sebab purdah dik..’ ‘kat tempat sana, mereka tak dapat terima orang yang memakai purdah.’ Aku terdiam.. ‘Di Malaysia mungkin boleh terima pemakaian ini, tapi kat sana orang seperti ini dianggap sebagai terrorist.’ Aku cuba berlapang dada, tersenyum lagi.. UjianMu.. =)
‘InsyaAllah, akak akan cuba bantu adik. Kalau sungguh adik nak menuntut ilmu kat sana, adik tahu apa yang perlu diperbuat kan..?’ Aku menganggukkan kepala. Terusku berniat meletakkan maslahatku mengikut  waqi’.

Dua hari yang berlalu, hatiku seperti mendatar rentaknya. Pagi-pagi lagi aku tersenyum, mimpi mendapat fail kedua bahawa aku terpilih untuk mengikuti pembelajaran di sana. ‘Ah, masuk dalam mimpi pun jadilah..’ hatiku berbisik.. Pagi itu, kelas berjalan seperti biasa. Sahabatku menarik-narikku untuk bertanya kepada kakak yang menguruskan program ini. ‘InsyaAllah, akak akan usahakan.’ Bicara kakak itu penuh kelembutan. ‘Anis teman Fira buat passport petang ni juga!’ dia bertegas. Aku mengikuti tanpa banyak bicara. Entah kenapa, terasa ringan aku melaksanakannya walaupun mengetahui jawapan yang bakal diberi masih belum kukuh. ‘Apa yang kita dah buat ni..’ aku bertanya kepada sahabatku. Ditanganku sudah siap passport yang tertera namaku. Sahabatku memujuk, ‘Fira, kita cuma berusaha, Allah nak tengok usaha kita.. Selebihnya kita tawakal ya..’ Aku senyum, teringat nota kecil yang ku lekat di hadapan mejaku. Mungkin sahabatku ini telah membacanya.. (Allah pandang usaha kita, bukannya natijah!)

‘Jom kita cari surau, dah masuk waktu asar ni..’ Kami berlegar-legar di kawasan itu. Deringan telefon bimbitku menghentikan langkah seketika. ‘Assalamualaikum adik, ini akak.. Akak dah bincang dengan ustaz. InsyaAllah, kamu ada peluang ke sana. Tapi kena ada syarat! Kamu tak dibenarkan pakai purdah sepanjang waktu di sana. Malam ni datang, kita akan buat musyawarah dan perjanjian bersama.’ Allahuakbar!! Selesai aku menutup punat telefon, terusku memeluk sahabat baikku.. Tak terucap dengan kata-kata..

Sampai di surau, di atas sejadah, aku terus menyungkur sujud syukur.. ‘Alhamdulillah, Allah beri peluang kedua lagi.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Terima kasih Ya Allah..’

 Ibu datang menjemput kami untuk pulang semula ke kampus. Ku kongsikan detik-detik itu kepada ibu tercinta. Ku cium tangannya, memohon doa dipermudahkan segalanya. Lantas ibu, menarik memelukku.. ‘Ibu, doakan along terus kuat lalui jalan ini ya. Ini jalan Allah. Walau apa saja rintangan, rasa kelelahan, doakan kaki along masih kukuh dan melalui jalan-Nya.. Along datang ke sana niat hanya nak belajar, takde niat nak susahkan sesiapa..’ Suaraku sedikit sebak. ‘InsyaAllah, ibu doakan.. Waktu doa hati ibu rasa tenang je, moga Allah mudahkan semua urusan.’ Dia melepaskan pelukan, dan aku tahu ada manik jernih sedang mengalir di pipinya.

Alhamdulillah..

InsyaAllah, Ahad ini.. Aku dan teman-teman akan berangkat ke Jogjakarta untuk misi memburu ilmu di sana selama dua bulan. Mohon ampun khilaf dan keterlanjuran juga menyinggung perasaan. Doakan agar kami mudah meneguk ilmu di sana dengan kesempatan yang ada. Alhamdulillah, Ya Allah kerana memberiku peluang sekali lagi untuk mempelajari bahasa syurga.. =)


Rabu, April 03, 2013

#1 Travelog Kembara Ilmu


4 Mac 2013
Conteng-conteng dalam buku waktu kelas falsafah moden
Malam tadi mimpi dapat tawaran gi Gontor.. =)

31 Mac 2013
Buka buku study untuk final paper falsafah moden
Terjumpa.. terus conteng
Alhamdulillah betul2 dapat rupanya.. =)

“Barangsiapa yang hendak berjaya di dunia mestilah dengan ilmu dan barangsiapa yang hendak berjaya di akhirat juga hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa yang hendak berjaya pada kedua-duanya juga hendaklah dengan ilmu.”

p/s : Parlimen dah bubar.. Senyum.


You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "