Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah,
Allah bagi peluang lagi untuk bernafas di bumiNya. Berbahagialah dengan semua
kurniaan nikmatNya. Berbahagialah, kerana kita benar-benar sudah cukup dengan
semua rezekiNya ini. Moga kesakitan yang sedang dirasai dapat dijalani dengan
penuh sifat sabar dan qanaah. Hamba memohon biar setiap kesakitan yang dialami
menjadi penebus dosa di akhirat kelak. Allahumma’aminn…
Duduk di
hospital mendamaikan rasa. Seperti berlari-lari jauh dari alam yang sebenar. Waktu
yang diberi lebih banyak untuk mengkoreksi diri. Duduk bermuhasabah lihat
disekeliling. Doktor dan jururawat berkejar-kejaran melayani karenah para
pesakit. Esoknya seperti itu, rutinnya seperti itu.. Berbahagialah mereka yang
banyak membantu manusia. Hanya kebaikan dibalas kebaikan di akhirat sana.
Dihadapanku
seorang kakak berusia sekitar 28 tahun, Allah uji dia keguguran. Suaminya setia
memberi sokongan. Disebelahku seorang makcik sekitar 50-an, kaki kanannya patah
berbalut namun masih boleh tersenyum. Sebelah lagi, auntie india dan cina.
Kedua-duanya sudah berusia, tangan berbalut dan hanya mampu terbaring sahaja.
Aku?? Masih tetap dalam keadaan bimbang, menghadapi hari esok dengan sebuah
pembedahan. Sama ada berjaya atau tidak semuanya kuasa Tuhan.. Allah..
Allah.. Ku redakan hati, membaca
buku-buku yang memang kusediakan dari rumah. Dengan harapan, setelah keluar
hospital nanti aku terus menyiapkan kerja-kerja yang masih bertimbun. Kota
Konstatinopel di tawan sebaik-baik Raja dan sebaik-baik tentera, matapelajaran
Tokoh-tokoh Islam.. Dia yang pemimpin yang hebat, Sultan Muhammad Al-Fatih.
Moga keturunanku ada yang mewarisi sifat kepimpinannya suatu hari nanti, amin
Ya Allah..
“Adik boleh
mula puasa pukul 12 malam nanti, kalau nak minum air seteguk masih boleh tapi
sebelum pukul 6.30 pagi berhenti ya” ujar seorang doktor wanita yang lembut
tutur katanya. “Esok adik masuk pembedahan yang kedua, kami akan buat saluran
untuk bantuan pernafasan masuk melalui hidung dan tekak. Lepas adik sedar, adik
akan rasa sakit sedikit pada hidung dan anak tekak, jangan risau. Ia akan
memakan dalam 2-3hari untuk rasa selesa seperti biasa. Kami bagi bantuan
pernafasan oksigen di dalam bilik pembedahan nanti.”
Aku
berbaring di atas katil menghitung masa. Kadang-kadang terlena menantikan
saat-saatnya. Ku lihat disekeliling lagi, ah masa melawat! Masing-masing
dipenuhi keluarga dan sanak-saudara. Semua bertanya khabar berita. Jari
jemariku menekan pepunat handphone. “Nisa, Iqa, Dija, Ainaa.. Aku sunyi..!”
Kini, aku mempelajari sesuatu.. Suatu hari nanti, jika dirimu mendengar khabar
berita saudaramu yang sedang sakit, hadirlah menziarahi. Rasa sokongan itu akan
terpatri, walau hanya melihat wajah orang-orang yang dikasihi. Percaya kawan,
laksanakanlah hadith Nabi..
“Dari Al-Bara’
bin Azib r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w telah memerintahkan kami tujuh
perkara dan juga melarang kami dari tujuh perkara. Baginda memerintahkan kami
untuk menjenguk orang sakit, menghantar jenazah, menjawab orang yang bersin,
menunaikan sumpah, menolong orang terzalim, menyebarkan salam dan memenuhi
undangan.”
Terasa
gegaran handphone di sebelah katilku, masing2 bertanyakan kondisi..
Alhamdulillah, masih stabil. Cuma rasa takut menyelinap dalam diri, ini kali
pertama aku memasuki bilik pembedahan. Masing-masing melayan karenahku hingga
hampir penghujung malam. Teet! Teet! Ku buka inbox meseg lagi, bibirku
tersenyum. Doktor muda memberi nasihat, “Enti banyakkan bersabar ya, insyaAllah
semuanya ok. Ingatlah doktor hanya sebagai pengantara, Allah yang sebenarnya
menyembuhkan.” Luv u lillah ukhti Ainaa.. =)
Alhamdulillah,
ibu datang tepat masanya. Kelewatan dengan jalan raya yang sesak selepas
mengambil adik yang baru pulang musafir dari Terengganu. Lapar! Desus hatiku
yang dari pagi tidak menyentuh sebarang makanan. Jam melewati hampir pukul 7.00
petang. Detik itu juga ibu mengeluarkan sepotong roti mengalas perutku yang
sudah pedih meminta ehsan. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?
“Adik,
bangun.. Tukar baju sekarang ya,” aku menggosok-gosokkan mata mencari-cari
kelibat jam di dinding. 5.30 pagi! Aku mencapai baju yang diberikan dan
mengucapkan terima kasih. Bertukar wajah, daripada baju seragam hijau pesakit
di hospital kini aku memakai baju putih untuk masuk ke ruang pembedahan. Aku duduk
kembali di atas katil, lantas mencapai mathurat disebelah katilku. Ku
ulang-ulang doa untuk meminta kesihatan yang baik.
Allahumma,
aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung padaMu
dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang
dan penindasan orang. Allahumma, sihatkanlah badanku, Allahumma sihatkanlah
pendengaranku, Allahumma, sihatkanlah penglihatanku…
Masanya
tiba, aku ditolakkan ke ruang pebedahan. Perasaannya? Pernah lihat di kaca
televisyen pesakit di tolak masuk ke ruang pembedahan? Ya, sama.. =) Masuk ke
bilik pembedahan aku ditahan di bilik yang pertama. Jururawat tersenyum, sambil
mengambil data-data dariku. “Adik nak bersalin ya?” Aku terkejut lantas
tersenyum, mungkin kedua-dua tanganku bersilang disebalik selimut nampak kelihatan
seperti mengandung mungkin. “Tak” lantas ku betulkan posisi tangan semula,
lurus.. Ku bisikkan ke hati, “Mungkin kali kedua aku ditolakkan ke bilik
pembedahan, baru ku jawab ya.. suatu hari nanti mungkin.. mungkin..” =)
Zapp!
Pedihnya menahan kesakitan. Tanganku dicucuk kali kedua, kali ini aku
dimasukkan air melalui tiubnya. Pedih, hanya Allah yang Tahu. Zikir tidak lepas
dari hati, Allah ringankanlah kesakitan ini. Allah.. Allah.. Allah..
Kini aku
berada di bilik pembedahan yang sebenar, ku pujuk hati. Jangan takut dengan
kematian.. Mati itu syarat untuk berjumpa Tuhan! Aku serahkan semua urusan
kepadaMu.. Mataku semakin berat, jururawat meletakkan wayar-wayar yang aku
sendiri tidak tahu di seluruh badan, leher dan muka.. Sempat memikirkan mungkin
bius tidur telah dimasukkan. Dan tidak sampai 5 minit aku terlena, kosong
sekosongnya..
“Adik
bangun ya dik! Pembedahan dah selesai..” sayup2 terdengat suara jururawat. Ku
gagahkan diri untuk membuka mata. Tertutup semula. Ku buka, ku pejamkan semula.
Lemah terasa.. Hati berbisik, ‘Allah bagi peluang lagi.. Aku hidup! Terima
kasih Ya Allah! Terima kasih, Alhamdulillah.. Lepas ni aku nak sambung kerja
dakwah lagi, banyak urusan agama yang perlu aku selesaikan.. Terima kasih Allah
kerana bagi peluang sekali lagi, terima kasih..’ ku pasang telinga, jururawat
mengatakan jam hampir 12.45 tengah hari, oh hampir 3 jam aku di bilik
pembedahan. Syukur buatmu Allah!!
Aku
tersedar kembali, kini mataku benar-benar kuat menampung kelopak mata. Badanku
masih belum sepenuhnya punya kekuatan untuk digerakkan. Cuba menggerakkan bibir
namun kebas masih terasa. Suara belum mampu dikeluarkan. Aku hanya mampu
menggerakkan kepala sebagai isyarat semuanya ok kepada jururawat yang bertugas.
Akhirnya,
aku dikembalikan semula di wad yang aku duduki. Darah masih memenuhi di sekitar
mulut dan selimut. Badanku masih lemah, tudung entah kemana.. aku mula sedikit rasa
kecewa, namun kekuatan masih belum sepenuhnya. Aku hanya mampu memejamkan mata,
menahan semua rasa ini untuk hampir separuh hari.
Cuba cari
kekuatan untuk ke bilik air, bersusah payah aku membawa botol tiub yang hampir
kosong dari air yang dimasukkan. Pedihnya tidak tertahan! Sesuatu yang tidak
aku jangka, botol yang sepatutnya penuh dengan air kosong menyedut semula
darahku. Allah, hampir pengsan dibuatnya memandangkan diriku yang mabuk dengan
darah. Badan menggigil kesejukan. Suara tenggelam untuk memanggil jururawat, nasibku
baik kerana auntie dihadapanku melihat diriku yang hampir rebah memanggil
jururawat dengan cepat. Sepanjang menukar botol air itu, mataku berair kali ini
betul2 aku tidak ada kekuatan untuk menahannya. Allah ringankanlah lagi..
Doktor datang
semula ke katilku, semuanya ok.. Alhamdulillah, minggu depan aku boleh datang semula
untuk buka jahitan. Buat seminggu ini, doktor menasihatkan supaya hanya makan
bubur dan yang lembut-lembut sahaja. Petang ini juga adik dah boleh balik, Alhamdulillah…
=)
Pengalaman
mengajarkan kita akan kehidupan. Semua yang telah berlaku akan menjadi sejarah
dan kenangan. Kadang-kadang ianya lebih banyak mengajar menghargai diri dan
orang-orang disekeliling. Mohon doa kesembuhan sepenuhnya dari kalian.. Moga
Allah kasih.. =)
Ps : Aku
melihat anak-anak di Syria, kesakitannya melebihi dari apa yang telah aku
rasakan. Namun mereka tersenyum mengatakan semua kesakitan ini akan dibalas di
syurga. Allah mereka hebat! Mereka pejuang! Hilangkanlah semua rasa kesakitan!
Menangkanlah yang haq secepatnya! Runtuhkanlah kebatilan seperti Kau hancurkan
Firaun dan bala tenteranya. Biar Islam tertegak kembali di mata dunia! Aminnn2 Ya Rabb..
1 comments:
zafirah saket ap ya?
Catat Ulasan