Khamis, Januari 17, 2013

Midsem Di Hospital



Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, Allah bagi peluang lagi untuk bernafas di bumiNya. Berbahagialah dengan semua kurniaan nikmatNya. Berbahagialah, kerana kita benar-benar sudah cukup dengan semua rezekiNya ini. Moga kesakitan yang sedang dirasai dapat dijalani dengan penuh sifat sabar dan qanaah. Hamba memohon biar setiap kesakitan yang dialami menjadi penebus dosa di akhirat kelak. Allahumma’aminn…

Duduk di hospital mendamaikan rasa. Seperti berlari-lari jauh dari alam yang sebenar. Waktu yang diberi lebih banyak untuk mengkoreksi diri. Duduk bermuhasabah lihat disekeliling. Doktor dan jururawat berkejar-kejaran melayani karenah para pesakit. Esoknya seperti itu, rutinnya seperti itu.. Berbahagialah mereka yang banyak membantu manusia. Hanya kebaikan dibalas kebaikan di akhirat sana.

Dihadapanku seorang kakak berusia sekitar 28 tahun, Allah uji dia keguguran. Suaminya setia memberi sokongan. Disebelahku seorang makcik sekitar 50-an, kaki kanannya patah berbalut namun masih boleh tersenyum. Sebelah lagi, auntie india dan cina. Kedua-duanya sudah berusia, tangan berbalut dan hanya mampu terbaring sahaja. Aku?? Masih tetap dalam keadaan bimbang, menghadapi hari esok dengan sebuah pembedahan. Sama ada berjaya atau tidak semuanya kuasa Tuhan.. Allah.. Allah..  Ku redakan hati, membaca buku-buku yang memang kusediakan dari rumah. Dengan harapan, setelah keluar hospital nanti aku terus menyiapkan kerja-kerja yang masih bertimbun. Kota Konstatinopel di tawan sebaik-baik Raja dan sebaik-baik tentera, matapelajaran Tokoh-tokoh Islam.. Dia yang pemimpin yang hebat, Sultan Muhammad Al-Fatih. Moga keturunanku ada yang mewarisi sifat kepimpinannya suatu hari nanti, amin Ya Allah..

“Adik boleh mula puasa pukul 12 malam nanti, kalau nak minum air seteguk masih boleh tapi sebelum pukul 6.30 pagi berhenti ya” ujar seorang doktor wanita yang lembut tutur katanya. “Esok adik masuk pembedahan yang kedua, kami akan buat saluran untuk bantuan pernafasan masuk melalui hidung dan tekak. Lepas adik sedar, adik akan rasa sakit sedikit pada hidung dan anak tekak, jangan risau. Ia akan memakan dalam 2-3hari untuk rasa selesa seperti biasa. Kami bagi bantuan pernafasan oksigen di dalam bilik pembedahan nanti.”

Aku berbaring di atas katil menghitung masa. Kadang-kadang terlena menantikan saat-saatnya. Ku lihat disekeliling lagi, ah masa melawat! Masing-masing dipenuhi keluarga dan sanak-saudara. Semua bertanya khabar berita. Jari jemariku menekan pepunat handphone. “Nisa, Iqa, Dija, Ainaa.. Aku sunyi..!” Kini, aku mempelajari sesuatu.. Suatu hari nanti, jika dirimu mendengar khabar berita saudaramu yang sedang sakit, hadirlah menziarahi. Rasa sokongan itu akan terpatri, walau hanya melihat wajah orang-orang yang dikasihi. Percaya kawan, laksanakanlah hadith Nabi..

“Dari Al-Bara’ bin Azib r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w telah memerintahkan kami tujuh perkara dan juga melarang kami dari tujuh perkara. Baginda memerintahkan kami untuk menjenguk orang sakit, menghantar jenazah, menjawab orang yang bersin, menunaikan sumpah, menolong orang terzalim, menyebarkan salam dan memenuhi undangan.”

Terasa gegaran handphone di sebelah katilku, masing2 bertanyakan kondisi.. Alhamdulillah, masih stabil. Cuma rasa takut menyelinap dalam diri, ini kali pertama aku memasuki bilik pembedahan. Masing-masing melayan karenahku hingga hampir penghujung malam. Teet! Teet! Ku buka inbox meseg lagi, bibirku tersenyum. Doktor muda memberi nasihat, “Enti banyakkan bersabar ya, insyaAllah semuanya ok. Ingatlah doktor hanya sebagai pengantara, Allah yang sebenarnya menyembuhkan.” Luv u lillah ukhti Ainaa.. =)

Alhamdulillah, ibu datang tepat masanya. Kelewatan dengan jalan raya yang sesak selepas mengambil adik yang baru pulang musafir dari Terengganu. Lapar! Desus hatiku yang dari pagi tidak menyentuh sebarang makanan. Jam melewati hampir pukul 7.00 petang. Detik itu juga ibu mengeluarkan sepotong roti mengalas perutku yang sudah pedih meminta ehsan. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?

“Adik, bangun.. Tukar baju sekarang ya,” aku menggosok-gosokkan mata mencari-cari kelibat jam di dinding. 5.30 pagi! Aku mencapai baju yang diberikan dan mengucapkan terima kasih. Bertukar wajah, daripada baju seragam hijau pesakit di hospital kini aku memakai baju putih untuk masuk ke ruang pembedahan. Aku duduk kembali di atas katil, lantas mencapai mathurat disebelah katilku. Ku ulang-ulang doa untuk meminta kesihatan yang baik.

Allahumma, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung padaMu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang. Allahumma, sihatkanlah badanku, Allahumma sihatkanlah pendengaranku, Allahumma, sihatkanlah penglihatanku…

Masanya tiba, aku ditolakkan ke ruang pebedahan. Perasaannya? Pernah lihat di kaca televisyen pesakit di tolak masuk ke ruang pembedahan? Ya, sama.. =) Masuk ke bilik pembedahan aku ditahan di bilik yang pertama. Jururawat tersenyum, sambil mengambil data-data dariku. “Adik nak bersalin ya?” Aku terkejut lantas tersenyum, mungkin kedua-dua tanganku bersilang disebalik selimut nampak kelihatan seperti mengandung mungkin. “Tak” lantas ku betulkan posisi tangan semula, lurus.. Ku bisikkan ke hati, “Mungkin kali kedua aku ditolakkan ke bilik pembedahan, baru ku jawab ya.. suatu hari nanti mungkin.. mungkin..” =)

Zapp! Pedihnya menahan kesakitan. Tanganku dicucuk kali kedua, kali ini aku dimasukkan air melalui tiubnya. Pedih, hanya Allah yang Tahu. Zikir tidak lepas dari hati, Allah ringankanlah kesakitan ini. Allah.. Allah.. Allah..

Kini aku berada di bilik pembedahan yang sebenar, ku pujuk hati. Jangan takut dengan kematian.. Mati itu syarat untuk berjumpa Tuhan! Aku serahkan semua urusan kepadaMu.. Mataku semakin berat, jururawat meletakkan wayar-wayar yang aku sendiri tidak tahu di seluruh badan, leher dan muka.. Sempat memikirkan mungkin bius tidur telah dimasukkan. Dan tidak sampai 5 minit aku terlena, kosong sekosongnya..

“Adik bangun ya dik! Pembedahan dah selesai..” sayup2 terdengat suara jururawat. Ku gagahkan diri untuk membuka mata. Tertutup semula. Ku buka, ku pejamkan semula. Lemah terasa.. Hati berbisik, ‘Allah bagi peluang lagi.. Aku hidup! Terima kasih Ya Allah! Terima kasih, Alhamdulillah.. Lepas ni aku nak sambung kerja dakwah lagi, banyak urusan agama yang perlu aku selesaikan.. Terima kasih Allah kerana bagi peluang sekali lagi, terima kasih..’ ku pasang telinga, jururawat mengatakan jam hampir 12.45 tengah hari, oh hampir 3 jam aku di bilik pembedahan. Syukur buatmu Allah!!

Aku tersedar kembali, kini mataku benar-benar kuat menampung kelopak mata. Badanku masih belum sepenuhnya punya kekuatan untuk digerakkan. Cuba menggerakkan bibir namun kebas masih terasa. Suara belum mampu dikeluarkan. Aku hanya mampu menggerakkan kepala sebagai isyarat semuanya ok kepada jururawat yang bertugas.

Akhirnya, aku dikembalikan semula di wad yang aku duduki. Darah masih memenuhi di sekitar mulut dan selimut. Badanku masih lemah, tudung entah kemana.. aku mula sedikit rasa kecewa, namun kekuatan masih belum sepenuhnya. Aku hanya mampu memejamkan mata, menahan semua rasa ini untuk hampir separuh hari.

Cuba cari kekuatan untuk ke bilik air, bersusah payah aku membawa botol tiub yang hampir kosong dari air yang dimasukkan. Pedihnya tidak tertahan! Sesuatu yang tidak aku jangka, botol yang sepatutnya penuh dengan air kosong menyedut semula darahku. Allah, hampir pengsan dibuatnya memandangkan diriku yang mabuk dengan darah. Badan menggigil kesejukan. Suara tenggelam untuk memanggil jururawat, nasibku baik kerana auntie dihadapanku melihat diriku yang hampir rebah memanggil jururawat dengan cepat. Sepanjang menukar botol air itu, mataku berair kali ini betul2 aku tidak ada kekuatan untuk menahannya. Allah ringankanlah lagi..

Doktor datang semula ke katilku, semuanya ok.. Alhamdulillah, minggu depan aku boleh datang semula untuk buka jahitan. Buat seminggu ini, doktor menasihatkan supaya hanya makan bubur dan yang lembut-lembut sahaja. Petang ini juga adik dah boleh balik, Alhamdulillah… =)

Pengalaman mengajarkan kita akan kehidupan. Semua yang telah berlaku akan menjadi sejarah dan kenangan. Kadang-kadang ianya lebih banyak mengajar menghargai diri dan orang-orang disekeliling. Mohon doa kesembuhan sepenuhnya dari kalian.. Moga Allah kasih.. =)

Ps : Aku melihat anak-anak di Syria, kesakitannya melebihi dari apa yang telah aku rasakan. Namun mereka tersenyum mengatakan semua kesakitan ini akan dibalas di syurga. Allah mereka hebat! Mereka pejuang! Hilangkanlah semua rasa kesakitan! Menangkanlah yang haq secepatnya! Runtuhkanlah kebatilan seperti Kau hancurkan Firaun dan bala tenteranya. Biar Islam tertegak kembali di mata dunia! Aminnn2 Ya Rabb..

1 comments:

safwan berkata...

zafirah saket ap ya?

Catat Ulasan

You can replace this text by going to "Layout" and then "Page Elements" section. Edit " About "